AGENDA

Musim tengkujuh, orang ramai disaran elak aktiviti mendaki, mandi air terjun

26 Okt 2023, 1:17 PM
Musim tengkujuh, orang ramai disaran elak aktiviti mendaki, mandi air terjun

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan aktiviti riadah di kawasan perkelahan dan air terjun sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula pada pertengahan bulan depan hingga Mac 2024.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata pihaknya akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Perhutanan dalam memastikan aktiviti seperti mendaki, berkhemah, menyusuri hutan, mandi air terjun serta beriadah dikawal.

“Saya menasihatkan kerajaan negeri dan Sekretariat Pengurusan Bencana negeri agar memberi penekanan serius terhadap kawalan aktiviti berkaitan lebih-lebih lagi ketika musim hujan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Bencana JBPM 2023 di sini hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini menjangkakan empat hingga enam episod hujan lebat melanda negara bermula bulan depan hingga Feb 2024, yang berpotensi mengakibatkan banjir di kawasan berisiko.

Dalam pada itu, Abdul Wahab berkata JBPM akan membekukan 80 peratus cuti pegawai dan anggotanya di seluruh negara bagi menghadapi bencana banjir.

“Kami hanya membenarkan cuti kepada mereka yang benar-benar memerlukan atau terdapat sebarang perkara yang tidak dapat dielakkan,” katanya.

Terdahulu pada majlis itu, wartawan Mohd Firdaus Md Saisi, 38, dan jurugambar Hairul Nizam Baharin, 49, daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merupakan antara 96 penerima sijil penghargaan khas operasi mencari dan menyelamat (SAR) Turkiye.

Ia sebagai menghargai jasa dan sumbangan mereka ketika operasi dijalankan susulan gempa bumi kuat berukuran 7.8 skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada 6 Feb lepas.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619