AGENDA

Jaguh lontar peluru negara pertahan emas di Sukan Asia Para 2022

24 Okt 2023, 11:07 AM
Jaguh lontar peluru negara pertahan emas di Sukan Asia Para 2022

HANGZHOU, 24 OKT: Jaguh lontar peluru negara Muhammad Ziyad Zolkefli terus membuktikan kehebatannya selepas berjaya mempertahankan pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 (masalah intelektual) pada Sukan Para Asia Hangzhou 2022, di sini hari ini.

Pada aksi berlangsung di Stadium Pusat Sukan Huanglong, atlet berusia 33 tahun itu ternyata unggul, selepas melakukan balingan sejauh 16.65 meter (m) pada percubaan ketiganya, tanpa mampu dicabar tiga wakil lain.

Atlet kelahiran Selangor itu muncul juara menewaskan rakan senegara Mohamad Aliff Mohamad Awi, yang merangkul perak dengan catatan 13.75m, manakala atlet Thailand Sanepoot Boonkong memenangi gangsa (13.67m).

Beliau sekali gus berjaya mempertahankan pingat emas Sukan Para Asia dimenangi pada dua edisi sebelum ini iaitu 2014 Incheon, Korea Selatan dan 2018 Jakarta-Palembang, Indonesia.

“Saya cukup berpuas hati dengan kejayaan hari ini dan kejayaan ini saya hadiahkan buat seluruh rakyat Malaysia.

“Rasa bangga dapat membuat hatrik pada tiga temasya berturut-turut,” katanya kepada Bernama.

Kejayaan pemenang pingat emas Paralimpik 2016 itu dalam masa sama, menyumbang pingat emas ketiga negara, selepas pelumba berbasikal trek para negara Nur Suraiya Muhammad Zamri-Farina Shawati Mohd Adnan (pengemudi), menghadiahkan emas kedua di Velodrom Pusat Sukan Chun' An Jieshou, sebentar tadi.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619