AGENDA

McDonald's Malaysia sumbang RM1 juta kepada Dana Kemanusiaan Palestin

17 Okt 2023, 3:20 PM
McDonald's Malaysia sumbang RM1 juta kepada Dana Kemanusiaan Palestin

KUALA LUMPUR, 17 OKT: McDonald’s Malaysia mengesahkan sumbangannya sebanyak RM1 juta kepada Dana Kemanusiaan Palestin yang baru dilancarkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Kenyataan McDonald’s Malaysia hari ini memaklumkan bahawa syarikat itu berganding bahu bersama kerajaan dalam menyokong pendanaan berkenaan dengan harapan supaya dapat membantu rakyat Palestin yang sedang menghadapi masa yang sukar.

“Langkah ini adalah selaras dengan hasrat murni kerajaan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat.

“Usul Perdana Menteri untuk memperuntukkan RM10 juta kepada Dana Kemanusiaan Palestin adalah sejajar dengan komitmen kami untuk menyokong mereka yang terjejas akibat konflik di Gaza.

“Krisis kemanusiaan yang semakin menekan di Gaza mengetengahkan kepentingan usaha ini,” menurut kenyataan itu.

Menurut McDonald’s Malaysia, sumbangan kepada Dana Kemanusiaan Palestin akan secara langsung menyokong misi bantuan kemanusiaan di Gaza sekali gus memenuhi keperluan kritikal bagi mereka yang terjejas akibat konflik tersebut.

Syarikat itu menyatakan bahawa sumbangan tersebut meliputi perubatan, makanan, tempat tinggal dan bantuan pemindahan sekiranya diperlukan oleh pasukan penyelamat.

Katanya komitmen McDonald’s Malaysia tertumpu sepenuhnya kepada menyediakan keperluan asas kepada mereka yang dalam kesusahan.

“Kami yakin semangat kerjasama dapat membantu dalam masa yang genting ini. Selain sumbangan ini, McDonald's Malaysia juga menggalakkan pekerja-pekerja dari seluruh negara untuk menyertai usaha pengumpulan dana bagi terus membantu misi bantuan di Gaza.

“Kami berharap usaha ini akan memberi impak yang bermakna dalam kehidupan mereka yang terkesan di Gaza," menurut kenyataan itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619