ADN

Wakil rakyat Dusun Tua tumpu pulihkan semula Hutan Lipur Sungai Gabai

16 Okt 2023, 7:39 AM
Wakil rakyat Dusun Tua tumpu pulihkan semula Hutan Lipur Sungai Gabai

SHAH ALAM, 16 OKT: Usaha pemulihan semula Hutan Lipur Sungai Gabai yang terjejas teruk susulan bah besar di Hulu Langat pada 2021 antara tumpuan wakil rakyat Dusun Tua.

Datuk Johan Abdul Aziz berkata kawasan berkenaan yang dahulunya terkenal dengan aktiviti perkelahan kini sepi malah mata pencarian penjaja di situ turut terjejas.

“Sekarang ini ada orang mandi-manda tetapi tidak semeriah dulu, mungkin sebab tiada peniaga serta kemudahan seperti dulu.

“Kemudahan seperti gazebo, tandas dan struktur binaan lain banyak yang musnah, jadi pihak saya sedang dalam proses menyiapkan laporan berkaitan dan akan panjangkan kepada Dato' Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari).

“Saya difahamkan surau dan bangunan di sini dulunya dibina dengan bantuan peruntukan Kerajaan Negeri jadi saya usahakan juga supaya kerja baik pulih dapat segera dibuat,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini Johan berkata potensi DUN Dusun Tua sebagai lokasi pelancongan Selangor akan terus dilonjak menerusi pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan tarikan pelancong.

Beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dan menyatakan keperluan penambahbaikan dan naik taraf prasarana di kawasan itu.

Selain Sungai Gabai, kawasan Dusun Tua khususnya di bahagian utara mempunyai tarikan semula jadi seperti Gunung Nuang, Sungai Manggis, Sungai Congkak dan Sungai Pangsun.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619