AGENDA

Kadar keciciran murid, pelajar sekolah tunjuk trend penurunan

11 Okt 2023, 5:00 AM
Kadar keciciran murid, pelajar sekolah tunjuk trend penurunan

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Kadar keciciran murid dan pelajar sekolah menunjukkan trend penurunan dari 2019 hingga 2022, kata Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying.

Beliau berkata di peringkat sekolah rendah, kadar keciciran murid menurun daripada 0.12 peratus pada 2019 kepada 0.07 peratus pada 2022 sementara untuk peringkat menengah, kadar keciciran menurun daripada 1.14 peratus pada 2019 kepada 0.99 peratus pada 2022.

“Bagi tempoh 2019 hingga 2022 pada peringkat sekolah rendah, keciciran murid melibatkan tahun tiga, empat dan enam menunjukkan peningkatan manakala tahun dua dan lima menunjukkan tiada keciciran murid dan penurunan dalam tempoh tersebut.

“Pada peringkat sekolah menengah pula berlaku peningkatan kadar keciciran murid bagi tingkatan dua dalam tempoh 2019 hingga 2022 manakala terdapat penurunan kadar keciciran yang melibatkan tingkatan tiga, empat dan lima dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) yang meminta kerajaan menyatakan kadar keciciran sistem sekolah dan pecahan sebab keciciran mengikut tahun, umur dan jantina dari 2019 hingga Jun 2023 bagi setiap negeri dan langkah supaya murid dan pelajar kembali bersekolah, pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Lim berkata kadar keciciran murid mengikut jantina pada peringkat sekolah rendah menunjukkan tiada keciciran murid perempuan berbanding murid lelaki bagi 2019 hingga 2022.

“Pada peringkat sekolah menengah pula kadar keciciran murid lelaki menunjukkan penurunan berbanding kadar keciciran murid perempuan yang meningkat dari 2019 hingga 2022,” katanya.

Menurutnya data dari 2019 hingga 2023 menunjukkan sebab utama mendorong murid berhenti sekolah adalah kerana tidak berminat ke sekolah, bekerja, masalah keluarga, berkahwin dan sukar ke sekolah disebabkan faktor jarak.

Menjawab soalan tambahan Lee sama ada kerajaan akan melaksanakan pendidikan wajib sehingga tingkatan tiga bagi menyelamatkan lebih ramai murid daripada tercicir, Lim berkata Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menyediakan draf Rang Undang-Undang Pendidikan Pindaan bagi cadangan melanjutkan pendidikan wajib dari peringkat pendidikan rendah kepada pendidikan menengah.

“Bagi memperkemas draf rang undang-undang yang sedang digubal, KPM telah mengambil pelbagai inisiatif termasuk mengadakan sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619