AGENDA

Hasil sesi libat urus isu kalimah Allah dipersembah kepada Majlis Raja-raja

9 Okt 2023, 11:58 AM
Hasil sesi libat urus isu kalimah Allah dipersembah kepada Majlis Raja-raja

UTRAJAYA, 9 OKT: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mempersembahkan hasil libat urus bersama pihak berkepentingan berhubung isu isu penggunaan kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja pada hujung bulan ini, kata Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata input dan pandangan berkenaan akan mencorakkan Arahan Pentadbiran yang baharu mengenai penggunaan kalimah Allah dan ia perlu dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja kerana raja-raja adalah autoriti tertinggi agama dalam negara.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja dijadual bersidang pada 25 hingga 28 Okt ini.

“ Apa-apa input termasuk pandangan tambahan dan sebagainya yang diputuskan pada mesyuarat itu akan dibawa semula ke KDN untuk diteliti sebagai panduan kepada kami untuk merangka suatu Arahan Pentadbiran yang baharu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus KDN Bersama Badan Pengurusan Keharmonian Agama, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Menurutnya, lima sesi libat urus itu membabitkan cendekiawan Islam dan asatizah; ahli akademik, sosiologi dan keselamatan awam; aktivis dalam bidang perundangan sivil dan syariah; badan pengurusan syariah Malaysia; dan badan pengurusan keharmonian agama.

Saifuddin berkata sesi libat urus itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Mac 2021 yang membenarkan permohonan semakan kehakiman wanita beragama Kristian, Jill Ireland, yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

“Agendanya (libat urus) ialah bagi membantu ke arah mewujudkan satu arahan pentadbiran yang baharu ekoran daripada keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Jill Ireland, yang menjadikan Arahan Pentadbiran sebelum ini sebagai tidak boleh lagi diguna pakai," katanya.

Menurutnya, pada sesi libat urus hari ini, peserta menyuarakan agar kerajaan mengusahakan untuk menyelesaikan isu berkaitan penggunaan kalimah Allah itu 'once and for all' supaya tidak lagi membuka ruang kepada sebarang elemen atau anasir yang boleh menyebabkan ketidak tenteraman ataupun ketidak selesaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 5 Jun llalu menzahirkan kegusaran berhubung isu penggunaan kalimah “Allah” yang dikhuatiri menjadi polemik berlarutan dan boleh menjejaskan perpaduan nasional dan kesejahteraan negara jika tidak diselesaikan segera.

Al-Sultan Abdullah bertitah agar kerajaan mengharmonikan situasi semasa dan pada masa yang sama meletakkan penggunaan kalimah Allah pada konteks yang betul dengan mengambil kira keselamatan negara kemaslahatan ummah dan kedudukan Baginda serta Raja-Raja Melayu yang lain sebagai ketua agama Islam.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619