AGENDA

Peniaga didakwa cederakan amah Indonesia guna batang besi

29 Sep 2023, 7:37 AM
Peniaga didakwa cederakan amah Indonesia guna batang besi

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang pembantu rumah warga Indonesia menggunakan batang besi penyedut habuk.

Lee Chee Huat, 46, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas pembantu rumahnya, Darsinih, 29, di sebuah unit pangsapuri di Metro Prima, Sentul di sini, kira-kira 10.30 pagi, Jumaat lepas (22 Sept).

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin namun peguam Vincent Chew yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum dikenakan ke atas anak guamnya.

Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai dan menetapkan sebutan semula kes pada 3 Nov ini.

Pada Rabu lepas, media melaporkan mangsa dilihat berada di pintu rumah pangsapuri berkenaan selama 15 minit sambil memerhatikan pekerja sebuah syarikat logistik memindah masuk barang di rumah jirannya.

Wanita itu kemudian memberanikan diri meminta bantuan daripada pekerja terbabit untuk membantu menyelamatkannya dengan menghubungi pihak berkuasa.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619