AGENDA

Sukan Asia: Mohd Qabil menang emas acara ekuestrian

28 Sep 2023, 10:06 AM
Sukan Asia: Mohd Qabil menang emas acara ekuestrian

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

HANGZHOU, 28 SEPR: Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil mencipta sejarah membanggakan apabila menghadiahkan emas pertama Malaysia dalam sukan ekuestrian selepas mengungguli acara dressage individu di Sukan Asia Hangzhou 2022 hari ini.

Pada saingan di Pusat Ekuestrian Tonglu, Mohd Qabil yang kembali bersama dengan kudanya Rosenstolz cemerlang mengumpul keseluruhan 75.780 mata untuk meraih emas pertamanya di pentas Sukan Asia.

Mohd Qabil menewaskan juara bertahan Jacqueline Siu dari Hong Kong yang terpaksa berpuas hati dengan perak selepas meraih 73.450 mata manakala Anush Agarwalla dari India membawa pulang pingat gangsa selepas mengumpul 73.030 mata.

Sebagai rekod, Mohd Qabil meraih perak pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia selepas mengumpul dua gangsa masing-masing pada edisi 2010 di Guangzhou, China dan edisi 2006 di Doha, Qatar dalam acara sama.

Emas dimenangi Mohd Qabil adalah emas kedua kontinjen negara selepas atlet pelayaran wanita Nur Shazrin Mohamad Latif mencuri tumpuan dalam acara ILCA 6, semalam.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619