AGENDA

Azizulhasni cedera ringan selepas terlibat kemalangan ketika berlatih

16 Sep 2023, 11:10 AM
Azizulhasni cedera ringan selepas terlibat kemalangan ketika berlatih

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang mengalami kecederaan ringan selepas terlibat dalam kemalangan ketika menjalani latihan di Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan, hari ini.

Detik cemas itu dikongsikan menerusi video berdurasi 35 saat di laman rasmi Facebooknya yang memaparkan kemalangan berkelajuan tinggi itu berlaku semasa beliau sedang memecut bagi mengejar motosikal di hadapannya.

“Sekadar untuk berkongsi dengan semua yang saya terbabit dengan kemalangan kelajuan tinggi ketika sesi latihan disebabkan kegagalan mekanikal. Saya bersyukur kemalangan ini tidak mengakibatkan perkara lebih buruk.

Ia sebenarnya boleh mendatangkan kecederaan yang serius. Sebarang kemalangan yang berlaku dalam situasi ini bukan bahan jenaka. Alhamdulillah, Allah selamatkan saya,” menurutnya menerusi hantaran Facebook tersebut.

Beliau yang turut dikenali dengan julukan “The Pocket Rocketman” sedang dalam rangka persiapan bagi menyertai Sukan Asia 2022 Hangzhou di China yang akan bermula 26 hingga 29 Sept di Velodrom Pusat Sukan Chun'an Jieshou.

Pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, atlet berusia 35 tahun itu berjaya membawa pulang satu pingat emas menerusi acara pecut selain turut meraih pingat perak (pecut berpasukan) dan gangsa untuk acara keirin.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619