AGENDA

Jakim bangun modul baharu, lahir lebih ramai bakat profesional bidang halal

11 Sep 2023, 12:30 AM
Jakim bangun modul baharu, lahir lebih ramai bakat profesional bidang halal

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang membangunkan Modul Eksekutif Halal Antarabangsa yang baharu, bagi melahirkan lebih ramai bakat profesional dalam bidang halal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pihaknya yakin dengan pembaharuan modul tersebut, negara akan dapat mengeksport lebih ramai ke luar negara untuk membantu menambah baik industri halal di peringkat antarabangsa.

“Ini merupakan satu pengiktirafan kepada negara, kerana modul yang dibangunkan itu sudah tentu akan memberikan kebaikan kepada bakat baharu dalam negara mahupun di luar negara,” katanya pada sidang media selepas Majlis Makan Malam sempena Konvensyen Badan Pensijilan Halal Kali ke-13, di sini malam tadi.

Konvensyen Badan Pensijilan Halal yang berlangsung selama tiga hari bermula kelmarin, mengumpulkan peserta daripada 84 negara, dengan pihak Jakim memberikan sijil akuan halal kepada 47 negara terlibat.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jakim Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata pihaknya berharap, pembangunan modul itu dapat mengembangkan pensijilan halal di luar negara.

“Modul yang sedia ada hanya membuat kerjasama dengan syarikat Original Equipment Manufacturer (OEM) tempatan yang mempunyai kilang di luar negara.

“Kita (Jakim) melihat ada keperluan untuk Modul Eksekutif Halal Antarabangsa ini ditambah baik, supaya kita dapat memastikan standard dan keperluan halal di Malaysia dapat dipatuhi dan diguna pakai syarikat di luar negara, pada masa akan datang,” katanya.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619