AGENDA

Simpati nasib mangsa gempa di Maghribi, Malaysia sedia tawar bantuan

10 Sep 2023, 4:00 AM
Simpati nasib mangsa gempa di Maghribi, Malaysia sedia tawar bantuan

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan menghubungi rakan sejawatannya, Menteri Hal Ehwal Luar Maghribi Nasser Bourita bagi mendapatkan maklumat terkini gempa bumi yang melanda negara itu pada Jumaat dan seterusnya menawarkan bentuk bantuan yang diperlukan.

Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) pada Ahad, Zambry berkata beliau juga telah menghubungi Duta Besar Malaysia ke Maghribi, Datuk Astanah Abdul Aziz bagi mendapatkan maklumat perkembangan terkini kejadian.

“Beliau memaklumkan kepada saya, sehingga kini tiada laporan yang melibatkan rakyat Malaysia. Semua rakyat Malaysia yang dihubungi setakat ini berada dalam keadaan selamat,” menurut kenyataan itu.

Zambry juga mengucapkan simpati dan takziah kepada semua mangsa yang terlibat dalam bencana gempa bumi tersebut.

Terdahulu, Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata tidak ada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas oleh gempa bumi besar yang melanda Maghribi termasuk Al Haouz dan Marrakesh.

Kedutaan Malaysia di Rabat juga sedang memantau rapat perkembangan semasa dengan angka kematian dijangka meningkat susulan ada mangsa yang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan.

Warga Malaysia di Maghribi dinasihatkan untuk tetap berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini serta nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Rakyat Malaysia juga digalakkan untuk mendaftar dengan kedutaan Malaysia dengan menghubungi misi tersebut di alamat 307, Rue Bani Yider Souissi 10000, Rabat, dan melalui nombor telefon (+212) 5 37 65 83 24 / (+212) 6 73 29 14 24 atau melalui emel di mwrabat@kln.gov.my, tambah kenyataan itu.

Menurut kemas kini terbaharu yang dikeluarkan Agensi Anadolu memetik Kementerian Dalam Negeri kerajaan Maghribi, sekurang-kurangnya 2,012 orang telah terbunuh dan 2,059 cedera akibat gempa bumi kuat tersebut.

Bilangan yang tercedera adalah termasuk 1,404 kes kritikal.

Kematian akibat gegaran berukuran 7.0 pada skala Richter berlaku di pelbagai kawasan termasuk Taroudant, Chichaoua, Tiznit, Marrakech, Azilal, Agadir, Casablanca dan Youssoufia.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619