AGENDA

Atlet angkat berat hadiah gangsa di Kejohanan Dunia

7 Sep 2023, 5:04 AM
Atlet angkat berat hadiah gangsa di Kejohanan Dunia

KUALA LUMPUR, 7 SEPT: Badang negara, Mohamad Aniq Kasdan menceriakan kem angkat berat negara apabila menghadiahkan gangsa pada Kejohanan Dunia 2023 di Riyadh, Arab Saudi, malam tadi.

Angkatan 166 kilogram (kg) pada percubaan kedua acara clean & jerk kategori lelaki 61 kg itu sudah cukup untuk memastikan Mohamad Aniq tidak pulang dengan tangan kosong pada kejohanan tersebut.

Pencapaian pemenang emas Sukan Komanwel 2022 itu sekali gus mengulangi kejayaan menaiki podium pada edisi 2021 di Uzbekistan selepas meraih perak acara sama ketika beraksi bagi kategori 55kg.

Atlet berusia 21 tahun itu dalam satu hantaran di laman Instagram melahirkan rasa syukur dapat merangkul pingat kedua pada Kejohanan Dunia dan menghargai sokongan keluarganya serta Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Beliau juga berharap pencapaiannya dapat melonjak semangatnya untuk terus meningkatkan prestasi pada masa depan.

Wakil Amerika Syarikat Hampton Morris muncul juara dengan angkatan terbaik 168kg manakala Li Fabin dari China meraih perak (167kg).

Sementara itu, kejohanan yang turut menjadi satu daripada saingan kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris menyaksikan Mohamad Aniq menduduki ranking kesembilan dengan angkatan keseluruhan 291kg.

Beliau melakukan angkatan bebanan 125kg dalam acara snatch.

Setiap atlet angkat berat negara hanya perlu menyertai baki tiga lagi kejohanan kelayakan bagi melayakkan diri untuk berada dalam ranking 10 terbaik ke Sukan Olimpik 2024.

Hanya 10 atlet terbaik setiap kategori dengan seorang wakil setiap negara layak secara automatik ke temasya sukan terbesar dunia itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619