AGENDA

Warga emas lemas ketika cuba selamat dua rakan

3 Sep 2023, 12:18 PM
Warga emas lemas ketika cuba selamat dua rakan

ALOR GAJAH, 3 SEPT: Warga emas ditemukan lemas selepas hilang dibawa arus ketika cuba menyelamatkan dua rakannya yang hampir lemas di Pantai Cermin, Kuala Sungai Baru di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata mayat Haudi Sujai, 63, ditemukan 3 petang tadi, terapung tidak jauh dari lokasi dia dikatakan hilang.

Beliau berkata kejadian bermula kira-kira 11 pagi ketika mangsa bersama dua rakannya sedang memancing sekitar Pantai Pulau Masjid apabila air mulai pasang dan dua rakannya itu hampir lemas apabila dibawa arus deras.

"Warga emas itu dipercayai cuba membantu (rakan), namun arus air yang kuat menyebabkan lelaki itu terus dihanyutkan, manakala dua rakannya berjaya diselamatkan orang kampung," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Arshad berkata Haudi bersama tujuh lagi rakannya dari Balakong, Selangor datang ke Pantai Cermin sejak 10 pagi semalam untuk memancing di kawasan berkenaan.

"Warga emas itu dibawa ke pantai dan disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan sebelum dirujuk ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619