AGENDA

Raja perkenan kurangkan hukuman penjara Thaksin kepada setahun

1 Sep 2023, 12:22 PM
Raja perkenan kurangkan hukuman penjara Thaksin kepada setahun

BANGKOK, 1 SEPT: Raja Thailand Raja Maha Vajiralongkorn berkenan mengurangkan hukuman penjara lapan tahun bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra kepada setahun, menurut Warta Diraja pada Jumaat.

Pengampunan itu diumumkan sehari selepas Thaksin mengemukakan permohonan.

Menurut Warta Diraja, Thaksin seorang perdana menteri yang telah berjasa kepada negara, rakyat dan setia kepada institusi beraja.

Thaksin juga menghormati proses undang-undang, mengakui kesalahannya dan menerima keputusan mahkamah.

“Dia (Thaksin) sudah tua dan mempunyai masalah kesihatan yang memerlukan rawatan daripada pakar perubatan.

“Baginda berkenan memberikan pengampunan dan mengurangkan hukuman kepada setahun supaya dia (Thaksin) dapat menggunakan pengetahuan dan pengalaman untuk membantu negara, masyarakat dan rakyat,” menurut Warta Diraja itu.

Thaksin, 74, kembali ke Thailand pada 22 Ogos selepas 15 tahun hidup dalam buangan sendiri.

Pada hari yang sama Mahkamah Agung menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun kepadanya atas tuduhan rasuah.

Thaksin dimasukkan ke Police General Hospital kerana masalah kesihatan beberapa jam selepas ditahan di Penjara Reman Bangkok.

Awal minggu ini, kumpulan anti-Thaksin yang menentang percubaan Thaksin untuk mendapatkan pengampunan diraja telah membuat aduan kepada Jabatan Pemulihan, dengan alasan bahawa tidak sepatutnya ada pengampunan bagi kes rasuah kerana mereka telah merosakkan tadbir urus dan menjejaskan reputasi negara.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619