AGENDA

Agong zahir tahniah kepada kerajaan, kagum sambutan luar biasa Hari Kebangsaan 2023

1 Sep 2023, 10:16 AM
Agong zahir tahniah kepada kerajaan, kagum sambutan luar biasa Hari Kebangsaan 2023

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan tahniah dan penghargaan kepada Kerajaan Perpaduan bagi penganjuran sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang meriah dan luar biasa di Putrajaya, semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Mej Jen Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata Seri Paduka turut menzahirkan rasa sukacita dan kagum dengan sambutan itu yang dijayakan dengan penglibatan jabatan, agensi kerajaan serta pihak swasta.

Al-Sultan Abdullah bertitah sambutan Hari Kebangsaan tahun ini amat besar maknanya buat baginda dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menyambutnya buat kali terakhir selaku Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

“Sambutan ini menjadi kenangan manis yang akan sentiasa dalam ingatan buat Seri Paduka Baginda berdua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa terharu dan terima kasih kepada rakyat pelbagai kaum yang telah datang menyertai dan memberi sokongan untuk meraikan sambutan hari bersejarah itu.

Zahari berkata Seri Paduka amat kagum menyaksikan persembahan yang ditunjukkan semua kontinjen serta peserta daripada pelbagai peringkat umur yang mempamerkan semangat kenegaraan dan cintakan negara.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah semangat perpaduan dan patriotisme yang dipamerkan dalam setiap acara dan majlis yang dianjurkan di seluruh negara sangat membanggakan dan sewajarnya dipuji.

Baginda berharap semangat yang secara langsung mencerminkan keakraban rakyat pelbagai kaum itu dapat memperkukuh lagi keharmonian negara.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar kedaulatan Malaysia terus dipelihara dan dilimpahi dengan segala keberkatan dan keamanan yang berkekalan.

Lebih 100,000 orang membanjiri Dataran Putrajaya semalam bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang melibatkan 17,262 peserta, 67 kontinjen, 36 kumpulan pancaragam, 534 aset darat dan aset udara serta 100 ekor haiwan dalam perkhidmatan.

Sambutan itu turut disiarkan dan diikuti jutaan rakyat Malaysia secara langsung menerusi televisyen dan laman media sosial serta diraikan secara serentak di seluruh negara bermula jam 7 pagi.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619