AGENDA

Semarak Hari Kebangsaan, Muzium Tekstil pamer busana pelbagai kaum di Paradigm Mall

25 Ogos 2023, 4:26 AM
Semarak Hari Kebangsaan, Muzium Tekstil pamer busana pelbagai kaum di Paradigm Mall
Semarak Hari Kebangsaan, Muzium Tekstil pamer busana pelbagai kaum di Paradigm Mall
Semarak Hari Kebangsaan, Muzium Tekstil pamer busana pelbagai kaum di Paradigm Mall

PETALING JAYA, 25 OGOS: Pakaian tradisional pelbagai kaum di negara ini yang merupakan warisan tamadun dan peradaban sejak zaman berzaman perlu terus dipelihara dan ditonjolkan kepada umum supaya ‘tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas’.

Sehubungan itu, Muzium Tekstil Negara dengan kerjasama Paradigm Mall menganjurkan Pameran Warna Warni Busana Malaysia di lot kedai aras satu di pusat beli-belah itu sehingga 17 September ini.

Pengarah Muzium Tekstil Negara Tengku Intan Rahimah Tengku Mat Saman berkata pameran itu bertujuan mempamerkan keunikan, keanggunan dan kepelbagaian busana tradisional serta perhiasan diri yang melambangkan sifat majmuk rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023.

“Pameran ini mengetengahkan keunikan dan keistimewaan busana tradisional setiap kaum iaitu Melayu, Cina, India, masyarakat Sabah dan Sarawak serta Orang Asli.

“Turut dipamerkan koleksi perhiasan kepala yang dipakai oleh setiap raja dan sultan yang ada selain barang perhiasan diri yang menjadi pelengkap sesuatu busana,” katanya kepada Bernama.

[caption id="attachment_599707" align="aligncenter" width="814"] Muzium Tekstil Negara dengan kerjasama Paradigm Mall mempamerkan busana pelbagai kaum di lot kedai aras satu di pusat beli-belah itu di Petaling Jaya sejak 16 Ogos sehingga 17 September 2023. Foto Facebook Paradigm Mall Petaling Jaya[/caption]

Tengku Intan Rahimah berkata pameran itu yang menyasarkan 10,000 pengunjung bukan sahaja dapat memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, tetapi mengeratkan kerjasama strategik dalam usaha mengangkat, memelihara dan memulihara warisan budaya di Malaysia.

Katanya 68 koleksi bahan yang dipamerkan merupakan milik Muzium Tekstil Negara selain ada yang dipinjamkan dari Muzium Diraja dan Arkib Negara Malaysia.

Antara yang menarik ialah replika baju Muskat yang dipakai oleh Perdana Menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj semasa pemahsyuran kemerdekaan di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957 serta Tengkolok Diraja yang merupakan pakaian kebesaran Raja-raja Melayu.

“Perhiasan lain seperti Selendang Kelingkan daripada kain kasa berwarna merah jambu yang diperindah dengan sulaman kelingkan menggunakan pita logam pipeh bermotifkan bunga tabur serta Pinakol iaitu aksesori jenis selempang diperbuat daripada manik leper oleh masyarakat Rungus di Kudat, Sabah,” katanya.

[caption id="attachment_599706" align="aligncenter" width="739"] Muzium Tekstil Negara dengan kerjasama Paradigm Mall mempamerkan busana pelbagai kaum di lot kedai aras satu di pusat beli-belah itu di Petaling Jaya sejak 16 Ogos sehingga 17 September 2023. Foto Facebook Paradigm Mall Petaling Jaya[/caption]

Beliau berkata atas faktor keselamatan kebanyakan koleksi yang dibawa ke pameran itu merupakan replika yang dibuat hampir sama dengan asli.

Pengunjung dari Kuala Lumpur, Walter Chua, 41, berkata pameran itu membawanya untuk lebih mengenali pakaian tradisional pelbagai kaum di Malaysia selain mengetahui lebih mendalam mengenai Tengkolok Diraja.

“Baru saya tahu, rupa-rupanya setiap tengkolok itu ada perbezaannya dan ada cara ikatan tersendiri bagi setiap negeri,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619