AGENDA

Pengusaha bakeri sedekah 50 kek sempena Hari Kebangsaan

23 Ogos 2023, 3:15 PM
Pengusaha bakeri sedekah 50 kek sempena Hari Kebangsaan

PUTRAJAYA, 23 OGOS: Percaya dengan keberkatan rezeki dikongsi bersama, seorang pengusaha kedai kek di Batang Kali, Hulu Selangor, Selangor akan memberikan 50 kek percuma kepada pelanggan yang lahir pada 31 Ogos.

Pemilik Pink Bakery Studio Siti Zaliha Anuar berkata ia bermula dengan niat mahu bersedekah sempena meraikan ulang tahun pertama pembukaan kedainya yang kebetulan jatuh pada Bulan Kebangsaan.

"Jadi saya niatkan juga untuk gembirakan mereka yang lahir pada 31 Ogos dengan beri kek percuma dan dalam masa sama, semarakkan sambutan hari bersejarah negara ini," katanya kepada Bernama.

Siti Zaliha, 48, berkata tawaran itu sudah habis ditempah dalam tempoh yang singkat selepas dia memuat naik promosi kek istimewa di laman Facebooknya Ct's Choice (Baking Class) pada Ahad lepas.

Menurutnya, kek berbentuk bulat dengan corak Jalur Gemilang bersaiz enam inci berharga RM40 itu perlu dituntut pelanggan bertuah pada 30 atau 31 Ogos ini.

Menurut Siti Zaliha, usahanya untuk menyediakan kek percuma seberat 500 gram (g) sebiji itu akan dibantu oleh dua petugas yang mempunyai diploma dalam bidang bakeri.

Gara-gara tular tempahan kek percuma itu, Siti Saliha berkata selain tempahan kek, dia juga menerima tempahan pelbagai jenis kuih tradisional dan pastri yang turut dijual di kedainya.

“Ada pelanggan yang datang ke kedai (untuk membeli produk dijual) selepas hantaran itu tular di Facebook," katanya yang juga pelatih pembuatan kek di bawah Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp).

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619