AGENDA

Benam England 1-0, Sepanyol juara Piala Dunia Wanita FIFA

20 Ogos 2023, 1:37 PM
Benam England 1-0, Sepanyol juara Piala Dunia Wanita FIFA

SYDNEY, 20 OGOS: Satu nama baharu terukir pada trofi Piala Dunia Wanita FIFA apabila Sepanyol menjadi pasukan kelima merangkul gelaran itu selepas menewaskan England 1-0 di sini pada Ahad, lapor Xinhua.

Olga Carmona menjadi tumpuan perlawanan apabila jaringannya pada minit ke-29 sudah cukup memastikan Sepanyol menjadi negara kedua selepas Jerman menjulang kedua-dua kejuaraan Piala Dunia lelaki dan wanita, dengan pasukan lelaki Sepanyol memenanginya pada 2010.

Perlawanan berlangsung di Stadium Australia yang penuh sesak menyaksikan pertembungan dua pasukan yang memasuki final kejohanan itu buat kali pertama.

Pada aksi separuh akhir, England menyingkirkan tuan rumah bersama Australia 3-1, manakala Sepanyol telah mengatasi Sweden dengan kemenangan sukar 2-1.

Kedua-dua pasukan menampilkan persembahan seimbang dengan masing-masing mencipta peluang sejak wisel perlawanan ditiupkan.

Lauren Hemp hampir meletakkan England di depan pada minit ke-16, tetapi rembatan kaki kirinya terkena palang.

Tersentak dengan percubaan itu, Sepanyol bangkit melakukan serangan balas seminit kemudian apabila Alba Redondo melakukan rembatan yang ditepis penjaga gol England, Mary Earps.

La Roja akhirnya memecah kebuntuan apabila Carmona menyudahkan hantaran Mariona Caldentey dari sebelah kiri menerusi satu sepakan kencang mengatasi Earps.

Sepanyol berpeluang menggandakan jaringan apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain England pada minit ke-64.

Bagaimanapun Earps muncul wira apabila menyelamatkan percubaan Jennifer Hermoso.

England turut mempunyai peluang terbaik menyamakan kedudukan menerusi pemain gantian James pada minit ke-76 namun percubaannya dinafikan Cata Coll yang cemerlang di gawang hingga wisel penamat.

Ini adalah penampilan ketiga Sepanyol dalam Piala Dunia Wanita, selepas mereka tersingkir di peringkat 16 terakhir empat tahun yang lalu, dan gagal melepasi peringkat kumpulan pada 2015.

--BERNAMA-XINHUA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619