AGENDA

SPR: Laksana tanggungjawab Sabtu ini, jangka keputusan diumum awal

8 Ogos 2023, 4:14 AM
SPR: Laksana tanggungjawab Sabtu ini, jangka keputusan diumum awal

SHAH ALAM, 8 OGOS: Semua pengundi yang terlibat di enam Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu diharap dapat melaksanakan tanggungjawab dengan keluar mengundi pada Sabtu ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

Beliau berkata di pihak SPR, mereka menggalakkan rakyat untuk keluar beramai-ramai pada hari berkenaan bagi melaksanakan tanggungjawab untuk mengundi dengan sempurna.

“Di peringkat kita, kita galak semua pengundi jalankan tanggungjawab mereka untuk mengundi dan amat berharap kalau boleh untuk peratusan keluar mengundi kali ini dapat melebihi Pilihan Raya Umum-15 (PRU15) lepas iaitu 86 peratus,” katanya ditemui selepas meninjau proses undi awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.

Abdul Ghani berkata laporan yang diterima beliau setakat 9 pagi tadi menunjukkan perjalanan undi awal di enam negeri membabitkan tentera, polis dan pasangan masing-masing berlangsung meriah dan berharap peratusan yang keluar mengundi juga adalah tinggi.

Dalam pada itu, katanya setakat ini perjalanan kempen PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu serta Kelantan lancar dan berlangsung secara baik, tanpa kejadian tidak diingini.

Mengenai jangkaan pengumuman keputusan PRN, Abdul Ghani berkata berdasarkan prestasi ketika penamaan calon dilakukan 29 Julai lalu, diharapkan keputusan dapat diumumkan lebih awal berbanding pilihan raya sebelum ini.

“Insya-Allah, kita pun dalam proses menaik taraf sistem dan kalau boleh seawal mungkin (dapat umum keputusan) dan lebih awal dari masa lepas. Malah semasa penamaan calon baru-baru ini, kita dapat awalkan iaitu dalam 1 tengah hari sudah keluar untuk semua enam negeri,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619