AGENDA

Remaja maut dipanah petir ketika jaring ketam di Pulau Merambong

30 Jun 2023, 7:08 AM
Remaja maut dipanah petir ketika jaring ketam di Pulau Merambong

ISKANDAR PUTERI, 30 JUN: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas dipercayai dipanah petir ketika menjaring ketam bersama bapanya dengan menaiki bot di kawasan berhampiran Pulau Merambong di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin berkata dalam kejadian kira-kira 8.15 pagi itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala bapanya yang berusia 60 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Hujan lebat ketika kejadian dan hanya mangsa berdua bersama bapanya di dalam bot berenjin 15 kuasa kuda. Kejadian berlaku ketika mangsa sedang mendapatkan pelampung untuk menarik jaring menangkap ketam yang dipasang pada hari sebelumnya.

"Bapa mangsa tercampak ke hujung bot berdekatan enjin dan masih mampu menyelamatkan anaknya dengan menarik tangan mangsa sebelum dibantu oleh nelayan berhampiran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Rahmat remaja yang berasal dari Kampung Ladang di Gelang Patah itu tidak bersekolah dan bekerja sebagai nelayan bersama bapanya.

Beliau berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619