AGENDA

Seorang anggota TUDM maut, dua jurulatih cedera ketika latihan menembak

25 Jun 2023, 1:30 PM
Seorang anggota TUDM maut, dua jurulatih cedera ketika latihan menembak

SEREMBAN, 25 JUN: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan seorang anggotanya maut manakala dua jurulatih cedera ketika menjalani latihan menembak senjata dan bom lempar di Tapak Latihan Grenade Asas, lapang sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas tengah hari tadi.

TUDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan insiden pada 12.10 tengah hari itu telah mengakibatkan mangsa, yang merupakan penuntut kursus peningkatan pembantu pertahanan kelas 1 Siri 78/23, meninggal dunia di tempat kejadian.

“Dua jurulatih yang mengalami kecederaan itu pula diberikan rawatan awal di Hospital Tentera Darat Gemas dan telah dirujuk ke Hospital Segamat.

“Pihak TUDM telah menghubungi waris anggota yang terlibat dan menyerahkan kes kepada Polis Diraja Malaysia untuk menjalankan siasatan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut TUDM akan menubuhkan satu Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Justeru, TUDM menggesa semua pihak supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan selesai serta menghormati sensitiviti keluarga anggota yang terlibat.

Katanya maklumat perkembangan insiden itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619