AGENDA

Jokowi tiba untuk lawatan kerja ke Malaysia

7 Jun 2023, 9:38 AM
Jokowi tiba untuk lawatan kerja ke Malaysia

SEPANG, 7 JUN: Presiden Indonesia Joko Widodo tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan kerja dua hari atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, susulan lawatan rasmi pemimpin Malaysia itu ke republik berkenaan pada Januari lepas.

Pesawat khas yang membawa Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi bersama isterinya Iriana Joko Widodo serta delegasi, mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada kira-kira 3.40 petang.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyambut ketibaan Jokowi, yang turut disertai Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono.

Jokowi kemudian memeriksa kawalan kehormatan setempat terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Regimen Renjer Diraja yang diketuai Kapten Mohd Nor Zhafran Al-Ahmad.

Sempena lawatannya, Jokowi dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana di Putrajaya esok, selain menghadiri majlis santapan petang bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Jokowi dan Anwar turut dijadualkan menyaksikan pertukaran beberapa perjanjian yang akan ditandatangani oleh wakil kementerian serta agensi berkaitan dari kedua-dua negara.

Kali terakhir Jokowi mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia ialah pada 2019, selepas dilantik semula bagi penggal kedua menerusi Pilihan Raya Presiden pada 17 April.

Pada 2022, Indonesia merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dan kedua terbesar ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM130.14 bilion (US$29.55 bilion), peningkatan sebanyak 36.5 peratus berbanding RM95.31 bilion (US$22.98 bilion) pada 2021.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619