AGENDA

Selangor cadang bina jajaran rel Klang-Sabak Bernam

3 Jun 2023, 9:47 AM
Selangor cadang bina jajaran rel Klang-Sabak Bernam

SHAH ALAM, 3 JUN: Selangor berhasrat mewujudkan jajaran rel di kawasan utara negeri itu melibatkan daerah seperti Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata ketika ini kawasan utara yang mempunyai kemudahan tersebut adalah Hulu Selangor apabila terdapat laluan bagi komuter dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sedang dalam pembinaan, lapor portal Utusan Malaysia.

“Kerajaan negeri sedang menggalakkan pergerakan pengangkutan awam bersaiz kecil bagi menghubungkan rakyat antara kawasan.

“Ini mungkin perkara yang boleh dirangka, paling tidak buat dasar dahulu, supaya keterhubungan ini akan menjimatkan dan suatu masa nanti orang boleh tinggal di Sabak Bernam tetapi bekerja di Shah Alam.

“Sebenarnya di kawasan utara Selangor, kita belum lagi dihubungkan sepenuhnya dengan rangkaian kereta api. Rangkaian jalan raya sudah ada tetapi bermula dari Klang sampai ke Kuala Selangor dan Sabak Bernam, belum dihubungkan dengan rel,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap pada Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), hari ini.

Beliau berkata kemudahan pengangkutan awam yang lengkap memenuhi teras Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang menumpukan matlamat bandar rendah karbon dengan migrasi daripada penggunaan kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam.

“Kerajaan negeri seiring dengan seluruh rakyat Malaysia akan bersama-sama berganding bahu memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan serta pengagihan kekayaan dibuat secara telus, adil dan saksama.

“Justeru, kerjasama erat antara kerajaan negeri dengan Kementerian Ekonomi sangat diperlukan bagi memastikan kejayaan RS-1 dan RMK-12,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619