AGENDA

Polis Thailand beri kerjasama benteras seludup dadah, pendatang asing

23 Mei 2023, 2:46 AM
Polis Thailand beri kerjasama benteras seludup dadah, pendatang asing

TUMPAT, 23 MEI: Polis Kelantan akan terus bekerjasama dan berhubung rapat dengan pihak polis Thailand khususnya dalam usaha mempertingkatkan kawalan sempadan bagi membanteras kegiatan penyeludupan dadah, pendatang tanpa izin dan barangan kontraban.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata susulan itu kesemua Ketua Polis Daerah (KPD) di sempadan akan sentiasa berhubung setiap masa dengan rakan sejawat di Thailand bagi bertukar-tukar maklumat berkaitan.

Beliau berkata sebagai contoh KPD Tanah Merah akan sentiasa berhubung dengan polis di Daerah Waeng, KPD Pasir Mas dengan Daerah Sungai Golok, KPD Tumpat dengan Daerah Takbai dan KPD Jeli dengan polis Daerah Buketa.

"Hasil perbincangan pihak polis Thailand kita dapat pertingkatkan lagi penguatkuasaan dan terbukti dengan tangkapan yang telah dilakukan.

"Tindakan antara kedua-dua belah pihak yang dirancang dengan strategik telah menggagalkan usaha pihak sindiket untuk membawa masuk dadah ke negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Hari Raya Aidilfitri anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini malam tadi.

Hadir sama Timbalan Komander Keselamatan Sempadan Wilayah Narathiwat, Pol Kol Somchai Srisorayut.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata pertukaran maklumat dan strategi ini penting agar segala tindakan dapat diselaraskan serta lebih berkesan.

Difahamkan, rampasan terbaru yang dilakukan melibatkan dadah seberat 925 kilogram bernilai RM46.2 juta yang dilakukan oleh polis Wilayah Narathiwat pada 18 Mei lepas.

Menurut laporan yang diterima dadah jenis syabu tersebut diperoleh dari Bangkok dan akan dihantar ke Takbai sebelum diseludup masuk ke Malaysia.

"Kerjasama ini akan diteruskan iaitu segala maklumat yang kita atau polis Thailand miliki akan dikongsi bersama.

"Mungkin mereka (polis Thailand) memiliki maklumat tetapi tidak dapat melakukan tangkapan dan disalurkan kepada polis Kelantan untuk tindakan seterusnya.

"Selain pihak polis, kami juga bersama agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi memastikan penguatkuasaan di sempadan sentiasa dipertingkatkan," katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619