AGENDA

Bubar DUN: MB mengadap Sultan Selangor bulan depan

14 Mei 2023, 9:39 AM
Bubar DUN: MB mengadap Sultan Selangor bulan depan

Oleh Azian Aziz

GOMBAK, 14 MEI: Dato’ Menteri Besar akan mengadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bagi memohon perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata apa juga keputusan dimuktamadkan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj akan diumumkan selepas pertemuan itu.

"Insya-Allah kita akan mengadap sebelum Tuanku pergi menunaikan haji kalau dah balik haji dah tak boleh sebab dia akan terbubar automatik pada 25 Jun.

"Nanti bila kita dah umum kita akan mengadap tapi ada proses kita kena tunggu masa yang sesuai sebab ini masih lagi Mei belum lagi Jun.

"Kita dah mula berbincang tapi keputusan itu keputusan Tuanku," katanya ketika ditemui di program Rewang Sekampung Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di Dewan Beringin, Taman Sri Gombak, hari ini.

Pada 22 Februari lalu Amirudin menerusi Facebook memberitahu enam negeri mencapai kata sepakat untuk mempertimbangkan pembubaran DUN dalam dua minggu terakhir Jun ini.

Menurut beliau perkara tersebut akan dimaklum dan dibincangkan di peringkat parti sebelum dipersembah untuk mendapat perkenan DYMM Sultan, Yang Dipertuan Besar serta Tuan Yang Terutama Negeri masing-masing.

Enam negeri tersebut adalah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619