AGENDA

Lelaki warga emas meninggal dunia akibat keracunan ikan buntal

8 Apr 2023, 3:26 PM
Lelaki warga emas meninggal dunia akibat keracunan ikan buntal

JOHOR BAHRU, 8 APRIL: Seorang lelaki warga emas berusia 84 tahun, yang mengalami keracunan selepas memakan ikan buntal pada 25 Mac lepas, disahkan meninggal dunia di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon berkata mangsa adalah pasangan wanita berusia 83 tahun yang maut selepas memakan ikan itu pada waktu tengah hari, hari yang sama.

Beliau berkata terdahulu, lelaki itu dipindahkan ke wad perubatan pada Rabu lepas dalam keadaan sedar dengan tanda vital pesakit stabil meskipun dengan bantuan alat pernafasan dan diberi makanan melalui Tiub Ryle.

"Bagaimanapun, pada kira-kira 5.20 pagi tadi, dia dikesan dalam keadaan tidak responsif ketika jururawat menguruskan pesakit lain. Bantuan kecemasan telah diberikan serta-merta sebelum dia disahkan meninggal dunia pada 6.20 pagi," menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Ling berkata jasad mendiang telah dihantar kepada Unit Forensik sebelum diserahkan kepada waris bagi tujuan pengurusan mayat.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sudah mengambil tindakan ketika laporan kes pertama diterima dengan menjalankan siasatan di lapangan, mengenal pasti pembekal, pemborong dan penjual yang terbabit dalam urus niaga ikan buntal itu.

"JKNJ telah dan akan mengadakan beberapa sesi perbincangan dengan Jabatan Perikanan dan beberapa universiti tempatan yang mempunyai kepakaran dalam bidang perikanan serta toksin atau racun untuk mendapatkan penyelesaian secara menyeluruh berhubung isu ini.

"Justeru, kerajaan negeri dan JKNJ meminta agar warga Johor untuk sentiasa berhati-hati dalam memilih makanan terutama jika ia mempunyai risiko yang telah diketahui," katanya sambil menambah Pejabat Kesihatan Daerah berkaitan juga sudah membuka kertas siasatan di bawah Akta Makanan 1983.

Difahamkan, ini merupakan kali pertama pasangan warga emas yang tinggal di Jalan Sin Tiam Chamek, Kluang itu makan masakan berasaskan ikan buntal dengan mendapatkan bekalan daripada penjual secara pratempahan menerusi laman Facebook.

Pada 28 Mac lepas, Ling berkata seorang wanita warga emas meninggal dunia pada 25 Mac manakala suaminya masih dirawat di Unit Rawatan Rapi dipercayai akibat keracunan selepas memakan ikan buntal.

Susulan itu, pada 29 Mac lepas, Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain menasihati orang ramai supaya mengelak daripada memakan ikan buntal yang tidak diketahui jenisnya kerana hampir semua spesies itu mengandungi toksin yang boleh menyebabkan keracunan jika dimakan secara tidak betul.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619