AGENDA

Polis buka kertas siasatan video dakwa anggota lakukan peras ugut

3 Apr 2023, 12:30 PM
Polis buka kertas siasatan video dakwa anggota lakukan peras ugut

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Polis membuka satu kertas siasatan berhubung penularan video di aplikasi sosial semalam yang mendakwa seorang anggota polis memeras ugut individu di Bulatan Dato Onn di sini.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah mengenal pasti individu dan anggota polis terlibat dan mereka akan dipanggil untuk diambil keterangan

“Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan kertas siasatan yang lengkap akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Yahaya, siasatan awal pihak polis mendapati individu yang dirakam telah mendakwa diperas ugut oleh anggota polis berkenaan kerana tidak membawa dokumen pengenalan diri.

Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan penyebaran maklumat di media sosial tanpa sumber sahih dan individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222.

Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 48 saat di aplikasi TikTok semalam memaparkan seorang anggota polis lengkap beruniform melakukan pemeriksaan terhadap individu berlatar belakangkan Memorial Tunku Abdul Rahman di Bulatan Dato Onn.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619