EXCO

Karnival kerjaya kembali Mei ini, tawar 30,000 peluang kerja

31 Mac 2023, 8:17 AM
Karnival kerjaya kembali Mei ini, tawar 30,000 peluang kerja

SHAH ALAM, 31 MAC: Karnival Kerjaya Mega Selangor kembali lagi pertengahan Mei ini dengan tawaran 30,000 peluang pekerjaan, menurut EXCO pembangunan modal insan.

Mohd Khairuddin Othman berkata karnival itu diadakan dua hari di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang membabitkan 200 majikan.

"Pelbagai bidang ditawarkan kali ini antaranya sektor pelancongan, pembuatan, perhotelan dan hospitaliti termasuk tidak dilupakan peluang kerjaya untuk orang kurang upaya (OKU).

"Kita akan memaklumkan tarikh sebenar dalam masa terdekat namun semua individu yang sedang mencari pekerjaan boleh bersiap sedia membuat 'resume' untuk dibawa ke sana nanti," katanya ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan karnival kerjaya mega sebelum ini turut mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 1,060 peserta berjaya mendapat kerja dalam pelbagai bidang.

Karnival Kerjaya Mega Selangor 2022 pada 10 dan 11 Disember lalu di Maeps menawarkan lebih 30,000 peluang pekerjaan pelbagai sektor melibatkan 300 syarikat ternama.

Antara syarikat terlibat ialah Perusahaan Otomobil Nasional (Proton), Pos Malaysia, Prasarana, Puncak Niaga Holdings, Starbucks, Genting Malaysia dan agensi serta anak syarikat Kerajaan Negeri.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619