AGENDA

ASB 2, ASM terima agihan pendapatan RM1.64 bilion

30 Mac 2023, 10:04 AM
ASB 2, ASM terima agihan pendapatan RM1.64 bilion

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan jumlah pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM1.64 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023.

Dalam kenyataan hari ini, menurutnya Amanah Saham Bumiputera (ASB 2) mengisytiharkan jumlah pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM0.62 bilion, bersamaan 5.00 sen seunit kepada 513,244 pemegang unit yang kini memiliki 12.42 bilion unit.

Amanah Saham Malaysia (ASM) mengisytiharkan jumlah pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM1.02 bilion, iaitu bersamaan 4.50 sen seunit kepada 575,351 pemegang unit dengan pegangan 22.74 bilion unit.

Sehingga 28 Mac 2023, ASB 2 merekodkan pendapatan bersih terealisasi sebanyak RM536.09 juta, manakala ASM mencatatkan RM784.83 juta.

“Pendapatan bagi kedua-dua dana ini diperoleh melalui keuntungan, dividen serta sumbangan pendapatan lain terealisasi daripada pelaburan domestik dan antarabangsa, dalam persekitaran inflasi yang lebih tinggi dan kebimbangan terhadap kemelesetan global yang meningkat.

“Kedua-dua dana juga telah mendapat manfaat daripada strategi kepelbagaian portfolio masing-masing dengan peningkatan peruntukan dalam instrumen pendapatan tetap seiring dengan peningkatan keluk kadar hasil,” menurut PNB.

Pengagihan pendapatan ASB 2 dan ASM adalah bersamaan dengan jumlah pulangan, masing-masing sebanyak 5.00 peratus dan 4.50 peratus, kedua-duanya mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12-Bulan Maybank pada 2.52 peratus sebanyak 248 mata asas (bps) untuk ASB 2 dan 198 bps untuk ASM.

Pengagihan yang diisytiharkan oleh dana ini akan dilaburkan semula secara automatik dalam akaun pemegang unit pada 1 April 2023.

Urus niaga ASB 2 dan ASM di semua cawangan dan ejen ASNB termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan Internet telah ditangguhkan sementara bermula 28 hingga 31 Mac 2023 bagi memudahkan proses pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh meneruskan transaksi di portal myASNB di www.myasnb.com.my atau melalui aplikasi mudah alih myASNB pada 1 April 2023, atau mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 3 April.

Sementara itu, PNB berkata had pelaburan individu dalam ASB dan ASB 2 yang ditingkatkan daripada RM200,000 kepada RM300,000 setiap satu akan berkuat kuasa pada April 2023 tertakluk kepada kelulusan badan kawal selia.

“Peningkatan had pelaburan ini merupakan satu langkah positif dan sejajar dengan usaha PNB untuk terus menggalakkan budaya menabung dan pelaburan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619