AGENDA

1,000 pengguna, 500 peniaga bazar Ramadan disasar guna e-dompet

16 Mac 2023, 1:00 PM
1,000 pengguna, 500 peniaga bazar Ramadan disasar guna e-dompet

SHAH ALAM, 16 MAC: Seramai 1,000 pengguna dan 500 peniaga baharu disasar beralih kepada urus niaga e-dompet menerusi Jelajah Bazar Ramadan Tanpa Tunai di lima lokasi tahun ini.

EXCO industri kecil dan sederhana berkata sasaran membabitkan peniaga dan pengunjung di Bazar Ramadan USJ 4, Subang Jaya; Stadium Shah Alam, Shah Alam; Simpang Empat, Sungai Udang, Klang; Selayang Utama, Gombak serta Seksyen 18, Shah Alam.

"Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) serta Wavpay akan berkunjung ke lokasi berkenaan secara serentak bagi menggalakkan penggunaan e-dompet dalam kalangan peniaga dan pengunjung.

"Kerajaan Negeri percaya pendigitalan dapat membawa perubahan positif dan signifikan dalam meningkatkan kualiti hidup serta kemakmuran rakyat Selangor," kata Dato' Teng Chang Khim.

Beliau berkata demikian semasa pengumuman inisiatif Smart Raya Selangor 2023 di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor.

Chang Khim menambah pengunjung bazar berbelanja menggunakan e-dompet Wavpay berpeluang menyertai kempen Belanja dan Menang yang menyediakan hadiah keseluruhan RM50,000 seperti motosikal, komputer riba, telefon pintar, ipad dan televisyen.

"Tempoh kempen sepanjang Ramadan dengan satu cabutan bagi setiap RM10 yang dibelanjakan. Cabutan dibuat setiap hujung minggu manakala hadiah utama pada minggu terakhir," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata peniaga yang mencatat transaksi tertinggi melalui Wavpay dari setiap bazar pula berpeluang memperoleh ganjaran wang tunai RM2,000.

"Mereka perlu mendaftar sebagai peniaga Wavpay untuk menerima pembayaran QR dengan proses kelulusan dalam tempoh tiga hari bekerja," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619