AGENDA

Edar terjemahan al-Quran bahasa asing tangani penentang Islam di Barat

27 Feb 2023, 8:07 AM
Edar terjemahan al-Quran bahasa asing tangani penentang Islam di Barat

PUTRAJAYA, 27 FEB: Peruntukan bagi pengedaran segera cetakan 20,000 naskhah terjemahan al-Quran dalam bahasa Sweden serta bahasa asing utama dunia yang dibentang dalam Belanjawan 2023 adalah wajar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata jumlah peruntukan itu agak kecil untuk peringkat permulaan dan perkara itu turut memberi manfaat kepada rakyat Malaysia meningkatkan kefahaman mengenai ajaran Islam.

"Masalah sekarang adalah kefahaman sebab pihak yang menentang Islam ini tak pernah baca (al-Quran dan tafsir). Malah ada (ekstrem kanan) melabel pihak yang tidak bersetuju dengan pendirian mereka sebagai liberal, sekular dan (pemikiran) Barat.

"Oleh itu, kena baca balik teks, terjemahan dan tafsir (usaha) ini sekurang-kurangnya boleh menyelamatkan dan mengangkat penghayatan Islam ini," kata beliau pada sidang media selepas menghadiri Forum Antarabangsa: Pendekatan MADANI Mendepani Cabaran Islamofobia, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita mengenai peruntukan kerajaan dalam pengedaran cetakan al-Quran itu yang dikritik sesetengah pihak yang menyifatkan jumlah itu agak besar.

Anwar berkata usaha ini dapat menggalakkan lebih ramai mendapat akses kepada teks terjemahan dan tafsir kitab suci itu sekali gus meningkatkan kefahaman yang lebih mendalam mengenai ajaran Islam, selari tradisi aqliyah atau tradisi ilmu.

Ketika pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat lepas, beliau mengumumkan kerajaan menyumbang RM10 juta kepada Yayasan Restu bagi pengedaran segera cetakan 20,000 naskhah terjemahan al-Quran.

Pada 27 Januari Anwar mengumumkan Malaysia akan mencetak sejuta naskhah al-Quran sebagai simbolik penuh hikmah dan matang bagi menjawab serangan terhadap Islam seperti kejadian pembakaran kitab suci al-Quran di Sweden baru-baru ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619