AGENDA

Kerajaan terus perkasa inisiatif bandar rendah karbon, kurangkan kesan perubahan iklim

21 Feb 2023, 12:20 AM
Kerajaan terus perkasa inisiatif bandar rendah karbon, kurangkan kesan perubahan iklim

SHAH ALAM, 21 FEB: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim terus memperkasa inisiatif bandar rendah karbon bagi memastikan transformasi ke arah bandar rendah karbon.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata usaha itu akan melibatkan kerjasama strategik antara kerajaan persekutuan, Kerajaan Negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Menurutnya, peranan negeri dan PBT adalah amat penting bagi merancang pembangunan sosioekonomi dan infrastruktur persekitaran sesebuah bandar dalam merealisasikan aspirasi ke arah bandar rendah karbon.

"PBT juga diharap dapat membantu dalam melaksanakan inisiatif pelestarian persekitaran peringkat kebangsaan dan tempatan yang menekankan penggunaan tenaga lestari, mobiliti rendah karbon dan sistem pengangkutan bersepadu, pengurusan sisa, kitar semula dan kecekapan air serta pembinaan bandar berdaya tahan.

"Proses peralihan dan transformasi bandar rendah karbon bakal memberi impak yang positif kepada kita semua dalam mengurangkan kesan perubahan iklim," katanya berucap pada Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2022 di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Datuk Seri Huang Tiong Sii dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Haris Kasim.

Dalam pada itu, Nik Nazmi memaklumkan pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) yang dicatatkan pada tahun lalu adalah sebanyak 209,214 tan karbon dioksida setara.

"Jumlah penyerapan karbon yang dicapai melalui inisiatif in juga adalah sebanyak 29,622 tan karbon dioksida bersamaan dengan penanaman 5.2 juta batang pokok," katanya.

Terdahulu, pada majlis tersebut, Majlis Bandaraya Shah Alam menerima Anugerah Khas (PBT Paling Aktif) manakala bagi kategori Pengurangan Karbon Terbanyak pula diberikan kepada Majlis Perbandaran Sepang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619