AGENDA

Kementerian mahu tambah bilangan pekerja sektor bekalan telur ayam

11 Feb 2023, 5:32 AM
Kementerian mahu tambah bilangan pekerja sektor bekalan telur ayam

SEREMBAN, 11 FEB: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan mengatasi masalah kekurangan pekerja yang menjadi antara faktor kekurangan bekalan telur ayam menjelang bulan Ramadan ini.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pihaknya bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia sedang berusaha untuk menambahkan pekerja dalam sektor pertanian dan sektor yang lain bagi tujuan itu.

"Kementerian sedang mengatasinya (masalah bekalan telur ayam), memang setiap kali menjelang perayaan, pengunaan telur ayam lebih tinggi, masalah kekurangan telur ini juga dihadapi negara lain.

"Kebimbangan tetap ada, masuk sahaja Ramadan, pengunaan telur dan bahan yang lain akan meningkat, sebab itu kita kena bincang dengan pihak pengusaha supaya melipat gandakan pengeluaran daripada sekarang, itu kita harapkan.

"Kalau mereka tidak cukup pekerja kita cuba (atasi) dengan memberi laluan mudah untuk menambahkan pekerja, masalah utama pengusaha selain kenaikan harga makanan adalah kekurangan pekerja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Palestin Kuala Lumpur (ICPKL) 2023 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media tempatan mengenai keluhan pengusaha kuih raya yang bimbang perniagaan mereka terjejas susulan kekurangan bekalan telur ayam menjelang musim perayaan Aidilfitri nanti.

Sementara itu Mohamad berkata kerajaan Malaysia akan terus menyokong dan bersuara dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin.

Katanya program tentang kesedaran memperjuangkan rakyat Palestin perlu diteruskan dan kini semakin banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari negara Eropah memberikan sokongan kepada rakyat Palestin.

"Ahli Parlimen di Eropah juga berani mengecam sikap kerajaan mereka yang terus membantu kerajaan Israel yang membunuh rakyat Palestin setiap hari," katanya.

Sementara itu Penasihat ICPKL 2023 Dr Fauziah Mohd Hasan berkata 500 delegasi daripada 20 negara turut menyertai program hari ini yang bertemakan 'The Caged Eye', iaitu simbolik solidariti kepada penderitaan tahanan rakyat Palestin dikurung dalam penjara rejim Zionis.

Dr Fauziah berkata 4,450 warga Palestin dipenjara oleh pihak rejim Zionis termasuk 160 kanak-kanak dan 32 wanita.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619