AGENDA

Agong zahir tahniah presiden FAM terpilih ahli majlis FIFA

2 Feb 2023, 8:45 AM
Agong zahir tahniah presiden FAM terpilih ahli majlis FIFA

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang dipilih sebagai Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mewakili Asia.

Seri Paduka menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan Hamidin dan menyifatkannya sebagai satu pengiktirafan bukan sahaja kepada beliau tetapi juga kepada FAM serta negara.

“Ia juga sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa,” titah baginda dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook Istana Negara, hari ini.

Hamidin dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA bagi penggal 2023-2027 pada Kongres AFC ke-33, di Pusat Konvensyen Gulf di Manama, Bahrain, semalam.

Hamidin yang sebelum ini merupakan Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC, menerima 30 undian.

Beliau merupakan antara tujuh calon yang bertanding bagi mengisi lima kerusi wakil lelaki Asia.

Seri Paduka turut menzahirkan keyakinan bahawa Hamidin, berbekalkan keupayaan dan pengalaman luasnya mampu menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Majlis FIFA dengan jayanya.

Baginda turut yakin bahawa Hamidin akan membawa suatu nafas baharu kepada sukan bola sepak dunia dan negara serta menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepadanya, selain mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619