AGENDA

Ibu muda didakwa bunuh anak 18 bulan, hukuman mati jika sabit kesalahan

20 Jan 2023, 5:04 AM
Ibu muda didakwa bunuh anak 18 bulan, hukuman mati jika sabit kesalahan

SEPANG, 20 JAN: Seorang ibu muda didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membunuh anak kandungnya berumur setahun enam bulan di Cyberjaya, minggu lepas.

Umishahirah Khalid, 20, yang kelihatan sugul mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman yang menjalankan tugas sebagai majistret bagi kes tersebut.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati jika disabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kerani swasta itu didakwa membunuh anak kandung lelakinya di sebuah unit kondominium di Cyberjaya antara 5.52 petang, 11 Januari hingga 11.30 pagi, 12 Januari.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Sabrina Zubairi manakala tertuduh diwakili oleh peguam Johan Radzi yang menggantikan peguam utamanya Farhana Abdul Halim.

Nur Sabrina memohon kepada mahkamah agar tertuduh dirujuk ke hospital bagi pemeriksaan dan pemantauan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Ahmad Fuad yang membenarkan permohonan pihak pendakwaan, menetapkan 20 Mac sebagai tarikh sebutan kes dan penyerahan laporan perubatan. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619