AGENDA

Empat lagi ladang ternakan babi di Pulau Pinang dijangkiti penyakit demam babi Afrika

17 Jan 2023, 8:57 AM
Empat lagi ladang ternakan babi di Pulau Pinang dijangkiti penyakit demam babi Afrika

GEORGE TOWN, 17 JAN: Empat lagi ladang ternak babi di Pulau Pinang disahkan dijangkiti penyakit demam babi Afrika atau African Swine Fever (ASF) menjadikan keseluruhan 11 buah ladang komersial telah dilanda wabak tersebut.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ia membabitkan dua ladang baharu di kawasan Seberang Perai Tengah (SPT) manakala dua lagi Seberang Perai Selatan (SPS).

Beliau berkata wabak itu yang telah diisytiharkan sebagai ‘bencana’ di Pulau Pinang pada Jumaat lepas, tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda malah berkemungkinan bertambah buruk tanpa vaksin berkesan terhadap ASF.

"Sebelum ini, tujuh ladang telah dijangkiti wabak itu, iaitu dua di SPT dan lima di kawasan Perkampungan Valdor, SPS namun jumlah itu meningkat selepas empat lagi ladang disahkan positif wabak berkenaan.

''Ketika ini Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang sedang dan telah teruskan kerja-kerja persampelan di ladang-ladang ternak babi (lain). Setakat ini, 4,000 ekor babi di tiga buah ladang (dijangkiti ASF) telah selesai dilupuskan, dan pelupusan akan diteruskan ke ladang-ladang yang lain selepas ini,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jumaat lepas, Pulau Pinang mengisytiharkan wabak ASF sebagai ‘bencana’ selepas terdapat kes positif ASF dilaporkan di tujuh lagi ladang ternak babi komersial membabitkan 25,000 ekor haiwan di SPT dan SPS.

Semua babi yang dijangkiti dan terdapat di ladang-ladang itu dimusnahkan secara berperingkat menggunakan kaedah gas CO2 (Kepekatan Tinggi) mengikut garis panduan Kod Amalan Kebajikan Haiwan - Pengurusan Pembuangan Haiwan.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pihak polis selaku pegawai tindak balas bencana membantu JPV dengan menjalankan satu sekatan jalan raya (SJR) di SPT dan tiga di SPS membabitkan kawasan ladang ternak babi di landa wabak ASF.

"Satu SJR di kawasan Bukit Teh, SPT manakala tiga lagi di Perkampungan Valdor, SPS bagi mengawal pergerakan masuk dan keluar babi hidup atau bangkai babi di kawasan disahkan positif wabak tersebut supaya tidak berlaku penularan di kawasan lain," katanya.

Berdasarkan data bancian JPV negeri, terdapat 124 ladang ternakan babi di Pulau Pinang membabitkan jumlah keseluruhan 267,348 ekor babi.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619