AGENDA

Tewas kepada Thailand di luar jangkaan - kapten Harimau Malaya

11 Jan 2023, 3:20 AM
Tewas kepada Thailand di luar jangkaan - kapten Harimau Malaya
Tewas kepada Thailand di luar jangkaan - kapten Harimau Malaya

PATHUM THANI (Thailand), 11 JAN: Kapten pasukan negara Mohamad Faisal Abdul Halim tidak menjangkakan Malaysia dibolosi sehingga tiga gol ketika menentang Thailand pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022, malam tadi.

Mohamad Faisal berkata Malaysia turun beraksi di Stadium Thammasat di sini dengan misi yang jelas untuk mara ke final dan mempertahankan kelebihan kemenangan 1-0 bagi menyingkirkan juara bertahan itu.

“Sudah tentu kita tak jangka tewas 3-0, bermain di Thailand kita hanya perlu seri 0-0 atau sekurang-kurangnya jaring satu gol tetapi inilah bola sepak, bukan rezeki kita dan kita dah cuba yang terbaik.

“Kalau di Stadium Nasional kita menang 1-0 tapi diserang berterusan, tapi di sini kita cuba atasi mereka (Thailand) tetapi gagal. Banyak lagi perlu dipelajari dan faham apa yang jurulatih Kim (Kim Pan Gon) nak sebenarnya,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di sini, malam tadi.

Pada pertembungan itu, Gajah Perang mendahului menerusi tandukan penyerang prolifik Teerasil Dangda pada minit ke-19 sebelum pemain sayap Bordin Phala dan penyerang gantian Adisak Kraisorn, masing-masing mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-55 dan ke-71.

Malaysia, juara 2010, tewas dengan keputusan agregat 1-3.

Thailand akan membuat perhitungan menentang juara dua kali, Vietnam, pada perlawanan final secara timbal balik Jumaat ini dan Isnin minggu depan.

[caption id="attachment_560149" align="aligncenter" width="729"] Pemain pertahanan kebangsaan Muhammad Azam Azmi Murad diasak tiga pemain Thailand pada aksi perlawanan separuh akhir kedua AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 antara Malaysia dan Thailand di Stadium Thammasat, Pathum Thani, Thailand pada 10 Januari 2023. Foto BERNAMA[/caption]

Sementara itu, Mohamad Faisal percaya sekiranya skuad yang beraksi pada kempen Piala AFF kali ini dikekalkan bagi tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, Malaysia mampu mengikut jejak langkah Thailand dan Vietnam dalam mencipta kejayaan.

“Memang dua atau tiga tahun tempoh masa lama tetapi kita kena lihat juga pasukan Vietnam dan Thailand - mereka duduk lama sehingga dua, tiga tahun baru nampak hasil, tidak mudah dalam masa sebulan kita nak dapat kejayaan,” kata pemain sayap Selangor FC berusia 25 tahun itu.

Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon pada Piala AFF 2022 ini diperkuatkan kebanyakan muka baharu selepas kira-kira 14 pemain utama tidak dapat menyertai atas alasan urusan peribadi, komitmen keluarga dan masalah kecederaan.

Pencapaian mara ke separuh akhir kali ini menyaksikan Malaysia memperbaiki rekod tersingkir seawal saingan peringkat kumpulan pada edisi lepas, yang juga membawa kepada keputusan bekas Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe melepaskan jawatan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619