AGENDA

Penjawat awam di Selangor terima bantuan khas kewangan sebulan gaji esok

28 Dis 2022, 12:59 PM
Penjawat awam di Selangor terima bantuan khas kewangan sebulan gaji esok

SHAH ALAM, 28 DIS: Penjawat awam di Selangor akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) satu bulan yang dibayar esok, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata BKK itu sebagai tanda penghargaan serta komitmen penjawat awam yang menjadi tulang belakang kemajuan Selangor selama ini.

"InsyaAllah esok (29 Disember) Bantuan Khas Kewangan akan diberi sebagai tanda penghargaan serta komitmen para penjawat awam yang menjadi tulang belakang kemajuan Negeri Selangor.

"Semoga memberi manfaat dan membantu kitaran ekonomi negara," kata beliau menerusi ciapan di Twitternya hari ini.

Ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2023 pada 25 November lalu, Amirudin mengumumkan BKK sebanyak dua bulan setengah tahun ini, termasuk satu bulan dibayar pada 29 Disember ini dan setengah bulan lagi pada Februari 2023.

Jumlah dua bulan setengah ini termasuk BKK sebanyak sebulan gaji yang sudah selesai dibayar menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini.

Beliau memaklumkan insentif kali kedua tahun ini, atau bayaran sekurang-kurangnya RM1,000, membabitkan implikasi kewangan RM37.63 juta.

BKK kali ketiga, atau minimum RM1,000 pula, akan dibayar bagi meringankan beban penjawat awam menampung persiapan sekolah anak-anak pada kemasukan Mac 2023.

“Untuk menghargai khidmat cemerlang serta komitmen penjawat awam dalam memastikan perkhidmatan Kerajaan Negeri kekal efisien dan berkesan, sukacitanya saya mengumumkan BKK kepada semua anggota berkelayakan.

“(Ini termasuk) anggota yang anggota perkhidmatan Kerajaan Negeri yang gajinya dibayar oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2023.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619