AGENDA

Warga emas bina rumah tong plastik hadapi banjir di Terengganu

21 Dis 2022, 8:13 AM
Warga emas bina rumah tong plastik hadapi banjir di Terengganu

CHUKAI, 21 DIS: Dengan hanya berbekalkan 69 tong plastik dan 54 keping papan fascia, ia menjadi sebuah rumah bersaiz 70 kaki persegi dan setinggi 5.8 meter serta mampu terapung daripada dilanda banjir besar di Kampung Terbak Batu 16, di sini.

Pemilik rumah, A Bakar Che Ahmad yang lebih dikenali sebagai Pokwe, 67, berkata hasil sentuhan kreatif seni bina rumah terapung itu diinspirasikan daripada ‘reban ayam terapung’ yang dibinanya pada 2019.

Pokwe yang juga bekas pembuat alatan tajam berkata ini kali pertama kediamannya yang siap dibina pada 16 Sept lepas dan dinamakan ‘Rumahku, Rakitku’ berjaya diapungkan sekali gus menyelamatkannya sekeluarga daripada banjir.

“Rumah ini mengambil masa dalam tiga bulan lebih (untuk dibina)… rumah ini mempunyai lima bilik tidur dan dua bilik air, manakala ia juga boleh menampung seberat 15 tan metrik,” katanya kepada Bernama di kediamannya itu hari ini.

Pokwe berkata rumah itu dibina hasil titik peluh ahli keluarganya yang terdiri daripada tujuh anak serta menantunya.

Beliau berkata sebelum rumah itu siap dibina, beliau sering terkesan dengan banjir di kawasan terbabit sejak tujuh tahun lepas.

“Saya sudah duduk di sini selama tujuh tahun, hanya satu tahun sahaja pada 2016 rumah kami tidak ditenggelami banjir.

“Sebelum ini, saya tidak berpindah ke PPS (pusat pemindahan sementara), saya hanya duduk di rumah saya yang lain… ia tidak jauh dari sini,” katanya.

Sementara itu, Pokwe hampir tidak percaya bahawa satu hantaran video mengenai rumahnya yang dirakam oleh seorang anaknya menerusi aplikasi TikTok meraih perhatian netizen di media sosial.

“Saya sangat gembira kerana ada yang memberi komen positif terhadap video tersebut, saya suka berkongsi kepada orang ramai supaya mereka juga turut mendapat idea untuk menyelamatkan rumah mereka.

“Saya juga sudi untuk tunjuk bagaimana kaedah pembuatan rumah ini tetapi saya buat ini lebih kurang sahaja. Kalau mereka (orang ramai) ingin buat lagi kukuh… saya boleh ajarkan,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619