AGENDA

Kes demam denggi turun 3.3 peratus minggu lalu, lima kematian di empat negeri

15 Dis 2022, 8:19 AM
Kes demam denggi turun 3.3 peratus minggu lalu, lima kematian di empat negeri

PUTRAJAYA, 15 DIS: Jumlah kes denggi yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-49 iaitu dari 4 hingga 10 Dis menunjukkan penurunan 3.3 peratus atau 1,871 kes berbanding 1,935 kes pada minggu sebelumnya, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata lima kematian akibat komplikasi demam denggi berlaku pada ME-49 melibatkan dua kes di Perak dan masing-masing satu kes di Selangor, Johor dan Sarawak.

Dalam satu kenyataan hari ini mengenai situasi demam denggi di Malaysia, Dr Noor Hisham berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah 60,110 kes berbanding 24,589 kes bagi tempoh sama tahun lepas iaitu peningkatan 144.5 peratus.

Dr Noor Hisham berkata 44 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 19 kematian bagi tempoh sama pada 2021.

“Selangor mencatatkan angka tertinggi kes iaitu 902 kes, diikuti Sabah (241), Kuala Lumpur dan Putrajaya (188) dan Johor (172),” katanya.

Katanya, 55 lokaliti titik panas dilaporkan pada minggu ini berbanding 53 lokaliti titik panas pada minggu sebelumnya dengan 26 lokaliti titik panas berada di Selangor, Sabah (21), Kuala Lumpur dan Putrajaya (lima) dan Pulau Pinang (tiga).

Menurutnya survelan chikungunya pula merekodkan 32 kes pada ME ke-49 dengan 23 kes di Pulau Pinang, tujuh di Selangor dan masing-masing satu kes di Kedah dan Pahang dengan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 763 kes. - BERNAMA

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619