AGENDA

Fiesta Nasi Ambeng Tradisional Selangor terima pengiktirafan MBOR

27 Nov 2022, 8:05 AM
Fiesta Nasi Ambeng Tradisional Selangor terima pengiktirafan MBOR

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SEPANG, 27 NOV: Kerajaan Negeri hari ini menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) atas kejayaan penganjuran fiesta hidangan nasi ambeng terbesar di Malaysia menerusi penyediaan 2,022 dulang hidangan.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata kira-kira 300 orang terlibat dalam penyediaan nasi ambeng yang dilaksanakan secara rewang sempena Fiesta Nasi Ambeng Tradisional Selangor 2022 .

“Penyediaan hidangan nasi ambeng dilaksanakan antara pembekal dan pengusaha untuk dinikmati secara percuma dan ia adalah salah satu usaha untuk memperkenalkan nasi ambeng kepada orang ramai dan pelancong yang mengambil bahagian.

“Dengan adanya pengiktirafan ini ia akan menaikkan lagi identiti negeri Selangor. Kira-kira RM300,000 diperuntukkan untuk program ini dan kita juga ada menerima tajaan daripada pihak lain selain kerjasama agensi kerajaan serta komuniti setempat,” katanya.

Terdahulu, Borhan menerima sijil pengiktirafan daripada MBOR atas kejayaan Kerajaan Negeri menganjurkan fiesta itu di Pantai Bagan Lalang, di sini. Turut hadir, isteri Dato’ Menteri Besar Datin Seri Masdiana Muhamad.

Nasi ambeng adalah makanan tradisional masyarakat Jawa yang kebiasaannya disediakan ketika kenduri seperti tahlil dan doa selamat yang terdiri daripada nasi putih dihidangkan bersama lauk seperti ayam, sambal goreng Jawa, serunding kelapa dan mi goreng.

Juadah ini dihidangkan di dalam dulang dan dikongsikan bersama-sama empat hingga enam orang tetamu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619