AGENDA

Menteri: Kanabis boleh didaftar sebagai ubat jika ada bukti berkesan

17 Okt 2022, 1:45 PM
Menteri: Kanabis boleh didaftar sebagai ubat jika ada bukti berkesan

SERDANG, 17 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuka pendaftaran bagi ubat berasaskan kanabis jika terdapat bukti kukuh bahan itu boleh digunakan dengan selamat dan berkesan dalam merawat pesakit, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Pusat Penyelidikan Klinikal (ICR) di bawah Institut Kesihatan Kebangsaan sedang mengadakan semakan dan perbincangan bersama pakar-pakar terutamanya dalam bidang ekologi dan rawatan paliatif.

"Ia turut melibatkan pakar dalam perkhidmatan yang memberi rawatan untuk keadaan tertentu seperti epilepsi dan mereka sedang semak data dari negara luar dari segi keberkesanan dan keselamatan penggunaan kanabis dalam kondisi (penyakit) tertentu.

"Sekiranya semakan pakar mendapati bahawa ada bukti kukuh kanabis boleh digunakan selamat dan berkesan, maka kita boleh buka untuk pendaftaran bagi indikasi (penggunaan untuk rawatan penyakit tertentu) itu," katanya pada sidang media selepas majlis serahan Pusat Jantung Hospital Serdang di sini, hari ini.

Khairy berkata adalah penting untuk memastikan pakar tempatan berpuas hati bahawa kanabis memang boleh digunakan untuk kondisi tertentu.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan akan memutuskan pendirian berhubung penggunaan kanabis dalam bidang perubatan sebelum akhir tahun ini.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619