AGENDA

Sultan titah pelihara badan kehakiman dari pengaruh dan tekanan

12 Sep 2022, 6:05 AM
Sultan titah pelihara badan kehakiman dari pengaruh dan tekanan

SHAH ALAM, 12 SEPT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mengingatkan semua pihak supaya memelihara nama baik badan kehakiman supaya tidak dicemari pengaruh dan tekanan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut mengingatkan pihak eksekutif supaya mendukung penuh prinsip kebebasan kehakiman dan mengelak cubaan untuk mempengaruhi proses pentadbiran keadilan.

"Pepatah ada menyatakan apabila seseorang hakim membuat keputusan, ia hendaklah diputuskan atas dasar “without fear or favour” (tanpa rasa takut atau pilih kasih)," titah Baginda.

"Penghakiman yang dibuat tanpa desakan atau pengaruh menggambarkan satu bentuk sistem pentadbiran keadilan yang adil dan saksama. Setiap rakyat di negara ini berkehendakkan keadilan, kesaksamaan serta ketelusan daripada badan kehakiman atas sesuatu kes yang diadili."

Baginda bertitah rakyat perlu memberi kepercayaan penuh kepada sistem kehakiman negara tanpa perlu melemparkan tohmahan tidak berasas, fakta atau alasan penghakiman terhadap sesuatu kes.

Titah Baginda tohmahan akan mengundang persepsi negatif, menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat selain boleh menjejaskan nama baik negara di peringkat antarabangsa.

Sultan Selangor juga menyeru rakyat menghormati kedaulatan undang-undang yang merupakan teras dan paksi kepada kedaulatan sistem demokrasi raja berperlembagaan.

"Perlembagaan Persekutuan meletakkan martabat institusi kehakiman di satu tahap tinggi sebagai sebuah badan kehakiman yang bebas dan berwibawa.

"Badan kehakiman merupakan benteng terakhir yang perlu dipertahankan bagi memastikan pentadbiran keadilan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya," titah Baginda.

Dalam pada itu, Baginda bertitah pelantikan hakim mahkamah persekutuan, mahkamah rayuan dan mahkamah tinggi dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat nasihat perdana menteri.

Titah Baginda lagi perdana menteri juga perlu berunding dengan ketua hakim negara dan mendapat pengesyoran daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman sebelum memberi nasihat.

"Proses lantikan hakim yang perlu melalui proses teliti ini menunjukkan badan kehakiman berbeza dengan institusi kerajaan lain dan menggambarkan kepentingannya dalam sistem pemerintahan," titah Baginda.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619