AGENDA

Pasangan penerjun papan anjal lelaki raih perak di Birmingham

5 Ogos 2022, 1:17 PM
Pasangan penerjun papan anjal lelaki raih perak di Birmingham

BIRMINGHAM, 5 OGOS: Pada ketika Datuk Pandelela Rinong gagal menaiki podium semalam, pasangan penerjun negara Gabriel Gilbert Daim-Muhammad Syafiq Puteh berjaya memenangi pingat Malaysia pertama dari acara terjun di Sukan Komanwel Birmingham 2022, hari ini.

Gabriel-Muhammad Syafiq mengumpulkan 376.77 mata selepas enam terjunan untuk membawa pulang pingat perak pada akhir acara lelaki 3 meter (m) papan anjal seirama yang berlangsung di Pusat Akuatik Sandwell, di sini.

Wakil tuan rumah Anthony Harding-Jack David Laugher berada dalam kelas tersendiri selepas mengumpulkan 438.33 mata untuk menang emas, manakala pasangan Australia Samuel Fricker-Shixin Li, menang gangsa (374.52 mata).

Sementara itu dua lagi penerjun negara Ong Ker Ying dan Kimberly Bong, masing-masing menduduki tempat ke-10 dan ke-12 pada pusingan awal acara wanita 1m papan anjal.

Ker Ying mengumpul 207.50 mata, sementara Kimberly Bong (204.75 mata) pada hari kedua acara terjun di sini.

Bagaimanapun, kedua-dua penerjun berpeluang untuk memperbaiki prestasi mereka hari ini, apabila beraksi dalam peringkat akhir yang akan berlangsung pada 6.05 petang waktu tempatan (1.05 pagi Sabtu waktu Malaysia).

Semalam Pandelela yang memulakan cabaran skuad terjun negara gagal menyerlah dan hanya menduduki tempat ke-11 daripada 12 penerjun pada akhir acara wanita 10m platform individu.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619