AGENDA

Gangguan elektrik, pemilik akaun alami kerugian boleh tuntut rebat

30 Jul 2022, 5:38 AM
Gangguan elektrik, pemilik akaun alami kerugian boleh tuntut rebat

KOTA BHARU, 30 JULAI: Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memberi rebat kepada pengguna terutama peniaga yang terjejas akibat gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan Semenanjung Malaysia, Rabu lepas.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata didapati pada hari kejadian seramai satu juta pengguna akaun domestik, industri dan komersial terkesan dengan gangguan yang berlaku sejak 12.39 tengah hari itu.

"Pengguna yang terkesan seperti peniaga boleh membuat tuntutan dengan menyatakan jumlah kerugian dialami.

"Bagaimanapun, maklumat terperinci mengenai rebat itu akan saya bentangkan di Parlimen pada 4 Ogos depan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kota Bharu kali ke-55, di sini hari ini.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu memuji tindakan pantas pihak TNB yang berjaya memulihkan sepenuhnya bekalan elektrik di kawasan mengalami gangguan dalam tempoh dua jam 21 minit.

"Disebabkan masalah yang berlaku pada hari itu, kita perlu menjaga kestabilan tenaga sehingga terpaksa mencatu kawasan tertentu yang tidak kritikal.

"Pada masa yang sama kita memastikan hospital, lapangan terbang dan Parlimen yang bersidang ketika itu tidak mengalami gangguan bekalan elektrik," katanya.

TNB dalam kenyataan Rabu lepas memaklumkan gangguan bekalan elektrik yang berlaku di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia sejak 12.39 tengah hari berpunca daripada kerosakan satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.

Kerosakan itu mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2 gigawatt (GW) yang merupakan 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung Malaysia.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619