AGENDA

Gangguan elektrik: Bomba Selangor terima 11 kes terperangkap dalam lif

27 Jul 2022, 2:12 PM
Gangguan elektrik: Bomba Selangor terima 11 kes terperangkap dalam lif

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima 11 panggilan kecemasan berkaitan kes pengguna terperangkap dalam lif melibatkan rumah kediaman, bangunan pejabat dan komersial susulan gangguan bekalan elektrik tengah hari tadi.

Pengarahnya Norazam Khamis ketika dihubungi Bernama berkata kes berkenaan dikesan berlaku di sekitar Shah Alam, Kajang, Serdang, Damansara, Subang dan Sungai Buloh namun tiada seberang kecederaan dilaporkan.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPM Kuala Lumpur pula berkata pihaknya turut menerima puluhan panggilan kecemasan mengenai perkara sama namun jumlah sebenar kes belum diperoleh.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha'ari Ngadiman pula berkata pihaknya menggunakan set generator untuk membekalkan elektrik kepada hospital-hospital di negeri itu bagi mengelakkan gangguan operasi.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata antara hospital di Selangor yang terkesan dengan gangguan bekalan elektrik adalah Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Kajang.

Sementara itu, tengah hari tadi TNB mengesahkan terdapat gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan di seluruh negara.

Di Selangor, gangguan bekalan elektrik dilaporkan berlaku dalam tempoh setengah jam di beberapa premis kerajaan dan gerai di sekitar daerah Kuala Langat, manakala beberapa kilang antaranya sebuah syarikat e-dagang di Seksyen 22, Shah Alam dan kilang sarung tangan di Klang turut terjejas.

Tiga kawasan di Melaka iaitu sebahagian di Cheng, Malim serta Batu Berendam terkesan dengan gangguan bekalan elektrik yang turut melibatkan beberapa kawasan perindustrian, menurut Ketua Perkhidmatan TNB Melaka Khairizam Ibrahim.

Di Pahang, gangguan bekalan elektrik dilaporkan berlaku di beberapa kawasan sekitar daerah Kuantan, Pekan, Bentong dan Pekan bermula kira-kira pukul 1 tengah hari tadi.

Pemilik bengkel kereta di Padang Lalang, Kuantan, Mohd Hasrul Affendi, 30, berkata beliau tidak boleh meneruskan kerja membaiki enam kenderaan di kedainya kerana kebanyakan mesin yang digunakan menggunakan kuasa elektrik.

Di Kelantan, gangguan elektrik berlaku hampir 30 minit di sekitar Jalan Che Kadir, Kota Bharu yang menempatkan beberapa premis perniagaan seperti restoran, kedai emas, hotel dan bangunan pejabat.

Beberapa daerah di Kedah antaranya Kuala Muda dan Kota Setar turut mengalami gangguan elektrik, namun hanya berlaku dalam tempoh kurang satu jam.

Tinjauan juga mendapati lampu isyarat di beberapa kawasan sekitar Sungai Petani tidak berfungsi akibat gangguan elektrik.

Sementara itu, tiada gangguan elektrik yang serius dilaporkan di Pulau Pinang apabila hanya beberapa kawasan tertentu terjejas termasuk di Seberang Jaya, Butterworth dan Bayan Lepas.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619