AGENDA

Selangor FC: Baik pulih semula Stadium Shah Alam perlu sokongan semua

16 Jul 2022, 11:59 PM
Selangor FC: Baik pulih semula Stadium Shah Alam perlu sokongan semua

SHAH ALAM, 17 JULAI: Semua pihak perlu menyokong keputusan Kerajaan Selangor untuk membaik pulih  Stadium Shah Alam, kata Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC.

Menurut Johan Kamal Hamidon, pembinaan semula yang lengkap dengan kemudahan dan peralatan terkini bakal memberi pelbagai manfaat untuk tempoh jangka panjang.

"Saya dan kelab (Selangor FC) amat teruja dengan pengumuman projek ini dan saya fikir semua orang di Selangor juga patut memiliki perasaan yang sama.

"Ia menandakan era baharu, tempat beraksi baharu dan ia satu yang amat bermakna untuk kami untuk tempoh beberapa tahun akan datang," katanya kepada The Vibes.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan surat niat (LOI) kepada Malaysian Resources Corporation Berhad MRCB oleh Kerajaan Negeri kelmarin.

Projek pembinaan itu dijangka bermula awal tahun depan dan siap pada 2026.

"Bagi sesuatu yang penting dan amat bermakna seperti ini, saya fikir penantian itu sangat berbaloi. Ia bukan sesuatu yang sering berlaku dalam hidup kita.

"Lagipun kita tidak mahu pembinaan stadium ini dibuat separuh jalan. Jadi ia bukan satu yang merugikan kerana usaha dan komitmen yang ditunjukkan kepada projek ini," katanya.

Ketika ini, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya menjadi lokasi perlawanan Selangor FC selaku tuan rumah dalam sebarang perlawanan bola sepak.

Mengenai pasukan Selangor FC, Johan berkata, kesemua pemain memang mengharapkan sebuah stadium yang mampu membanggakan mereka.

"Stadium sedia ada mempunyai pelbagai masalah yang tidak dapat diselesaikan dalam masa yang singkat.

"Jadi, mereka memang berbangga dapat memiliki sesuatu yang baharu dan mampu memberi semangat kepada mereka," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619