AGENDA

Lelaki maut dipukul isteri, disaksikan anak 11 tahun

15 Jul 2022, 4:48 AM
Lelaki maut dipukul isteri, disaksikan anak 11 tahun

JOHOR BAHRU, 15 JULAI: Seorang lelaki ditemukan maut dipercayai akibat dipukul isterinya dalam satu kejadian di Flat Nipah, Taman Daya, di sini pagi tadi.

Mengesahkan kejadian itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu kira-kira 7.50 pagi.

Beliau berkata mangsa yang dikenali sebagai Lee Ming How, 44, ditemukan terbaring dalam rumah.

"Susulan dari itu, isteri mangsa berusia 35 tahun telah ditahan dan akan dimohon reman hari ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata kejadian itu turut disaksikan anak lelaki mereka, dipercayai berusia 11 tahun.

Pasangan itu difahamkan mempunyai seorang lagi anak iaitu kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.

Raub berkata pihaknya masih menyiasat senjata dan motif kejadian serta satu kenyataan akhbar lebih lengkap akan dikeluarkan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, seorang penduduk Zaidah Neng, 46, berkata pasangan suami isteri itu kerap bergaduh dan wanita tersebut pernah ditahan polis sebelum ini.

"Saya memang kenal pasangan suami isteri berkenaan, tetapi kami tidaklah terlalu rapat cuma dia selalu datang beli burger di gerai saya.

"Wanita berkenaan baik sahaja orangnya, cuma dia seperti ada masalah mental, jadi ada ketikanya dia akan bertindak garang dan kerap marah-marah serta bercakap seorang dalam bahasa Mandarin," katanya kepada pemberita.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk siasatan lanjut kira-kira pukul 11 pagi tadi.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619