AGENDA

Pengedar daging sejuk beku tumpu jualan dalam talian melalui Seldec

14 Jul 2022, 3:04 PM
Pengedar daging sejuk beku tumpu jualan dalam talian melalui Seldec

PELABUHAN KLANG, 14 JULAI: Ben Daud Industries Sdn Bhd berhasrat menjadi antara pengedar utama daging di kawasan Lembah Klang dalam tempoh lima tahun akan datang melalui pembukaan gudang sejuk beku pertamanya di Pendamar, Klang.

Pengarahnya Wan Muhd Hisham Wan Hawari berkata Ben Daud berjaya mengimport daging halal pertamanya dari India sebanyak satu kontena seberat 28 tan yang dibawa masuk pada Mac lepas.

“Kami mendapat sambutan yang baik daripada pemborong di beberapa negeri dan syarikat ini menjangka akan mengimport satu lagi kontena dalam tempoh sebulan hingga dua bulan lagi,” katanya kepada pemberita selepas perasmian gudang tersebut oleh Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Zahari Kechik di sini malam ini.

Beliau berkata untuk tahun hadapan, tumpuan akan diberikan bagi operasi di Selangor dengan menyediakan platform jualan dalam talian melalui Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec) dan membuka peluang kepada kepada mereka yang berminat menjadi francaisi.

“Sasaran kita untuk tahun hadapan adalah setiap daerah di Selangor akan mempunyai dua hingga tiga francaisi Ben Daud memandangkan potensi yang luas untuk pasaran di negeri ini,” katanya.

Katanya, skim francais Ben Daud menawarkan modal yang rendah pada sekitar RM100,000 hingga RM150,000 dengan jangkaan pulangan pelaburan dalam tempoh empat hingga lima tahun.

Ben Daud telah ditubuhkan pada Mac 2016 sebagai pemborong dan peruncit Bumiputera dalam industri sejuk beku.

Selmedia Sdn Bhd, anak syarikat Selangor Industrial Corp Sdn Bhd telah menjadi pemegang saham majoriti Ben Daud sebanyak 70 peratus pada tahun lepas.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619