AGENDA

Banjir di Baling: Mayat remaja lelaki berjaya ditemukan

5 Jul 2022, 5:40 AM
Banjir di Baling: Mayat remaja lelaki berjaya ditemukan

BALING, 5 JULAI: Mayat remaja lelaki daripada tiga sekeluarga yang dilaporkan hilang dalam kejadian banjir dan fenomena kepala air yang melanda Kampung Iboi, Kupang di sini petang semalam, ditemukan pada 11.55 pagi tadi.

Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, yang merupakan pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai itu ditemukan tidak jauh dari lokasi dua mayat yang ditemukan sebelum ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata mayat mangsa ketiga ditemukan kira-kira dua jam selepas penemuan dua mayat pada 9.30 pagi tadi di lokasi berhampiran.

"Mayatnya ditemukan di bawah timbunan kayu dan berjaya dikeluarkan oleh pihak kami yang kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian banjir di Kampung Iboi, Kupang di sini hari ini.

Katanya mayat remaja itu dalam keadaan sempurna tanpa kesan kecederaan.

Terdahulu, dua mayat daripada tiga sekeluarga itu, Salmah Mat Akib, 53, dan menantunya, Nurul Anis Abu Hassan, 23, yang hamil empat bulan, ditemukan dalam keadaan berpelukan di bawah timbunan kayu balak.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, ketiga-tiga mangsa berada di dalam sebuah rumah yang kemudian dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir dan fenomena kepala air yang berlaku selepas hujan lebat berterusan selama tiga jam.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619